Post sebagai peringatan kepada kawan sendiri sebab selalu terlupa.Walaupun dah lepas barrier 1000x sehari sekarang ni, cuba untuk memecahkan tembok 5000x sehari semalam zikir..Inshaa Allah... Zikir harian ni hendaklah diamalkan sekurang-kurangnya 1000x sehari...
Zikir Harian
Monolog : Mari Mengaji.........
Malam ni dah masuk 3 malam kawan mengajo ghodong-ghodong mengaji. Sebenonye mende ni dah lama.. dari 2012 lagi kawan dah ngajo, tapi memandangkan kekadang kawan hilang semangat, hok nak diajor hilang semangat.. jadi kelas pun ditunda dari masa ke semasa...Harap-harapnya tahun ni, tidak la cenggitu lagi...
Masa mula ngajo te, sebenonye kawan kesian ngan ghodong-ghodong.. umur ada cecah 50 tahun tapi masih lagi tak kenal huruf.. dah deme mintak kawan ngajo.. jadik kawan ngajo la.. Masalahnya bila ramai dah masuk iqra' 3 atau 4.. deme mula culas... Kawan pun tak leh kabo mende, sebab kelas pun bukan berbayo, masing-masing atas ikhlas sendiri ngajo dan belajo...
Biasanya kelas iqra' dewasa ni kawan buat lepas isya' kat surau.. nunggu orang lain seme dah balik baru kawan ngajo. Ye la.. kawan faham, ada yang malu sebab dah tetua baru nak belajo a ba ta..Tapi bagi kawan, mende nak dimalukan.. Yang patut malu, orang yang tak nak belajo, sebab ngaji ni fardhu ain...
Bayangkan, bila orang tua meninggal, kita nak baca mende? Ada sorang ghodong kawan tanya, mende hok dibaca taim ayah ninggal, kabo dek deme.. baca surah al-Ikhlas je la... Sebab te, kawan gesa ghodong-ghodong belajo ngaji, kekurang kenal la jugak mende nak dibaca.. Jadi bila deme dah boleh baca merangkak-rangkak dan start malas, kawan tak leh kabo mende...
Dulu, kawan tak le memikir sangat bab ngaji ni.. Bagi kawan seme orang Melayu reti ngaji.. tapi malangnya, sasor jauh pandangan te... Ye lah, masa te kawan hidup dalam kelompok macam kawan, seme boleh ngaji, bila dah bercampur gaul ngan masyarakat.. baru sedor... ramai weiii tak leh ngaji rupa-rupanya...... Kawan jadik malu sendiri....
Jadi, bila dah start kelas ni.. kawan balik dari surau sekarang biasanya pukul 10 - 10.30 malam. Kalo ada ghodong-ghodong nelefon te, mintak maap le bebanyok wei... Kiranya pukul 7 - 10.30 malam te, tak yah la wokme nelefon kawan sebab kawan memang tak bawok telefon ke surau...
6 Pertanyaan Imam al-Ghazali
Pada suatu hari, Imam al-Ghazali menghimpunkan murid-muridnya, lalu beliau bertanya beberapa perkara
Pertama, “Apakah yang paling dekat dengan diri kita di dunia ini?. ”
Murid-muridnya ada yang menjawab orang tua, guru, teman, dan kaum kerabatnya. Imam al-Ghazali menjelaskan semua jawapan itu benar. Tetapi yang paling dekat dengan kita adalah “mati”. Sebabnya janji Allah bahawa setiap yang bernyawa pasti akan mati. (Ali Imran: 185)
Lalu Imam al-Ghazali meneruskan pertanyaan yang kedua. “Apakah yang paling jauh dari diri kita di dunia ini?”.
Murid-muridnya ada yang menjawab negara China, bulan, matahari, dan bintang-bintang. Lalu Imam al-Ghazali menjelaskan bahawa semua jawapan yang mereka berikan adalah benar. Tapi yang paling benar, ujarnya, adalah “masa lalu.” Bagaimana hebatpun manusia, kita tidak boleh kembali ke masa lalu. Oleh sebab itu kita hendaklah menjaga hari ini dan hari-hari yang akan datang dengan perbuatan yang sesuai dengan ajaran Islam.
Lalu Imam al-Ghazali meneruskan dengan pertanyaan yang ketiga. “Apakah yang paling besar di dunia ini?”.
Murid-muridnya ada yang menjawab gunung, bumi, dan matahari. Semua jawaban itu benar kata Imam Ghazali. Tetapi yang paling besar dari yang ada di dunia ini adalah “nafsu” (al-A’araf: 179). Maka kita hendaklah berhati-hati dengan nafsu, jangan sampai nafsu membawa kita ke neraka.
Pertanyaan keempat adalah, “Apakah yang paling berat di dunia ini?”.
Ada yang menjawab baja, besi, dan gajah. Semua jawaban adalah benar, kata Imam Ghazali, tetapi yang paling berat adalah “memegang amanah” (al-Ahzab 72). Tumbuh-tumbuhan, binatang, gunung, dan malaikat semuanya tidak mampu ketika Allah meminta mereka untuk menjadi khalifah (pemimpin) di dunia ini. Tetapi manusia dengan sombongnya bersetuju dengan permintaan Allah sehingga ramai manusia dimasukkan ke dalam neraka kerana lalai dalam memegang amanahnya.
Pertanyaan yang kelima adalah, “Apakah yang paling ringan di dunia ini?”.
Ada yang menjawab kapas, angin, debu, dan daun-daunan. Semua itu benar kata Imam al-Ghazali. Namun menurut beliau yang paling ringan di dunia ini adalah ‘meninggalkan solat’. Kerana sibuk dalam pekerjaan, maka kita meninggalkan solat.
Pertanyaan keenam adalah, “Apakah yang paling tajam di dunia ini?”.
Murid-muridnya menjawab dengan serentak, pedang. Benar kata Imam al-Ghazali. Tetapi yang paling tajam adalah “lidah manusia”. Kerana melalui lidah, manusia dengan mudah menyakiti hati dan melukai perasaan saudaranya sendiri.
Sumber : Si Pencari Ilmu
Kisah Ahli Sufi : Doa Mustajab
Ada seorang ahli sufi yang memang terkenal dengan doanya yang mustajab sehingga tiada satu pun doanya yang tidak dimakbulkan oleh Allah. Pada suatu hari, ahli sufi tersebut keluar dari rumah dengan berjalan kaki. Sehinggalah beliau sampai di depan sebatang sungai dan dia ingin ke seberang sana. Jika dia mahu, dia boleh saja berdoa kepada Allah supaya dia dapat berjalan di atas air dan menyeberang sungai dengan sekelip mata. Namun, beliau tidak melakukannya, bimbang akan timbul perasaan riak di dalam hatinya.
Setelah menunggu, datanglah sebuah sampan yang membawa penumpang ke seberang. Di atas sampan tersebut kelihatan beberapa orang yang mempunyai tujuan yang sama. Tiba-tiba, ada seorang lelaki yang bertanya kepada ahli sufi tersebut,
"Wahai ahli sufi, bagaimana kamu berdoa sehingga semua doa-doamu makbul?"
Ahli sufi hanya berdiam tanpa menjawab soalan lelaki tersebut. Sehinggalah sampai satu masa hanya tinggal tiga orang dalam sampan tersebut iaitu pendayung sampan, lelaki serta ahli sufi tersebut. Tiba-tiba, ahli sufi menolak lelaki tadi sehingga terjatuh ke dalam sungai. Lelaki tersebut menjerit meminta tolong. Lelaki itu tidak tahu berenang, dan dia memang bersungguh-sungguh menjerit meminta tolong. Sehinggalah sampai masa pendayung sampan terjun untuk menyelamatkannya.
Sehinggalah lelaki tersebut selamat dan kembali berada di dalam sampan. Setelah menghilangkan penat akibat tercungap-cungap lemas tadi, dia kembali bertanya kepada ahli sufi,
"Wahai ahli sufi, mengapa engkau menolak aku ke dalam sungai?"
"Aku hanya bertanya satu soalan kepada engkau, bagaimana engkau berdoa dan semua doamu mustajab," sambung lelaki itu lagi.
"Itulah jawapanku kepada soalanmu," jawab ahli sufi.
Jawapan itu membuatkan lelaki tersebut terpinga-pinga. Ahli sufi kemudian menyambung dengan persoalan,
"Bagaimana keadaanmu ketika di dalam sungai tadi?"
"Tadi ketika di dalam sungai, aku menjerit-jerit meminta tolong. Berharap semoga adanya pertolongan yang datang, kerana aku sedar aku tak boleh berenang. Aku berdoa kepada Allah supaya adanya orang yang akan datang menyelamatkan aku. Aku bersungguh-sungguh berdoa meminta pertolongan dengan menjerit meminta tolong,"
"Itulah sebenarnya cara kita berdoa kepada Allah. Jika kita inginkan sesuatu daripada Allah, seharusnya kita minta dengan bersungguh-sungguh dan penuh dengan keyakinan dalam doa kita kepadanya,"
Akhirnya, lelaki yang bertanya faham dengan penjelasan yang cuba disampaikan oleh ahli sufi tadi.
Sumber : Nasehat Kehidupan
Cemburu...
Dalam hidup ini.. siapa yang tiada perasaan cemburu? Sebab itu, bila di syurga kelak, Allah akan menghapuskan perasaan cemburu ini di dalam hati penghuni syurga....
"Tidak ada hasad (cemburu) yang dibenarkan kecuali terhadap dua orang; iaitu kepada orang yang Allah berikan harta, dia menghabiskannya pada jalan kebaikan, dan kepada orang yang diberikan ilmu dan dia beramal dengan ilmu tersebut dan mengajarkannya pula kepada manusia siang dan malam." (HR Muslim)
“Tidak boleh iri hati melainkan dalam dua perkara iaitu seseorang yang telah dikurniakan Allah SWT harta lalu dibelanjakan hartanya itu ke jalan yang benar (yang diredai oleh Allah SWT) dan orang yang dikurniakan oleh Allah SWT ilmu pengetahuan, lalu ia mengeluarkan sesuatu hukum berpandukan ilmunya (al-Quran dan hadis) serta diajarkannya pula kepada orang lain.” (HR al-Bukhari)
“Sesungguhnya sifat cemburu itu ada yang disukai Allah dan ada yang dibenci Allah. Dan di antara buruk sangka itu pun ada yang disukai Allah dan ada yang dibencinya. Cemburu yang disukai Allah ialah perasaan cemburu terhadap masalah yang patut dicurigai. Cemburu yang dibenci Allah ialah cemburu terhadap sesuatu yang tidak patut diragui. Buruk sangka yang disukai Allah ialah buruk sangka terhadap dirinya ketika dalam pertempuran. Buruk sangka yang tidak disukai Allah ialah buruk sangka yang bersarang dalam jiwa seseorang." (HR Imam Ahmad, Abu Daud dan al-Nasaei)
"Sesungguhnya Allah cemburu, orang beriman cemburu, dan cemburuNya Allah jika seorang Mu'min melakukan apa yang Allah haramkan atasnya" (HR Imam Ahmad, al-Bukhari dan Muslim).
Kawan memang jeles dengan orang yang banyak ilmunya dan mengajarkan kepada orang lain, sebab te kawan berusaha sedaya upaya untuk mempelajari semua perkara yang termampu otak menampungnya...
Kisah Ahli Sufi : Tembikai
Pada suatu hari, seorang ahli sufi yang masyhur bernama Syaqiq Al-Balkhir telah membeli sebiji tembikai.
Kemudian dia membawa tembikai itu pulang dan diberikan kepada isterinya.
Apabila isterinya membelah tembikai itu untuk dimakan, ternyata buah tembikai itu tidak elok, maka marah-marahlah isteri Syaqiq dengan keadaan tersebut.
Maka bertanyalah Syaqiq kepada isterinya:
“Kepada siapa engkau tujukan marahmu itu, adakah kepada penjual, pembeli, penanam atau Pencipta buah tembikai itu?.”
Terdiam isterinya mendengar pertanyaan tersebut.
Kemudian Syaqiq teruskan lagi kata-katanya:
“Adapun si penjual, sudah tentu mahu jualannya terdiri daripada barangan yang terbaik. Adapun si pembeli juga sudah tentu mahu membeli barang yang terbaik juga. Bahkan si penanam juga sudah tentu berharap hasil tanamannya yang terbaik juga.
Maka ternyatalah marahmu ini engkau tujukan kepada Pencipta buah tembikai ini. Maka bertaqwalah engkau kepada Allah dan redhalah dengan segala ketentuan Nya.”
Maka menangislah isteri Syaqiq. Lalu bertaubat dan iapun redhalah dengan apa yang telah ditentukan oleh Allah SWT.
Waalahu’Alam
sumber : Sitik's Blog
Pendidikan Islam atau Sukatan Pelajaran?
Sejak 2-3 menjak ni, kawan asyik terfikirkan perkara ini. Selama lebih kurang 15 tahun kawan mengajar, adakah apa yang kawan ajar itu Islam atau sukatan pelajaran?
Jika benar ianya Islam, kenapa setiap kali Solat Jumaat kawan lihat kanak-kanak membuat bising ketika khatib membaca khutbah. Jika benar kawan mengajar Islam, kenapa masih ada perasaan benci, iri hati, cemburu dan sebagainya? Jika benar kawan mengajar Islam, kenapa masalah sosial semakin menjadi-jadi di Malaysia? kenapa kadar jenayah semakin meningkat?
Islam yang diajarkan Rasulullah bukan begitu caranya. Agama itu nasihat. Jika mahu melihat akhlak Rasulullah, lihatlah al-Quran. Sebab itu pandangan orang bukan Islam di Malaysia jika seseorang ingin kembali kepada Islam (kawan suka pilih kembali, bukan menukar agama), mereka akan kata masuk Melayu. Islam tidak semestinya Melayu... itu yang sebetulnya.
Sebab itu, kawan kurang suka bersolat Jumaat di Masjid Daerah. Bising. Malah, pernah warga Pakistan menegur kawan kenapa kanak-kanak di Malaysia membuat bising ketika di dalam masjid? Di tempatnya tidak begitu. Dan kawan percaya, kanak-kanak tersebut kebanyakkannya boleh membaca al-Quran dengan betul tajwidnya. Tapi kalau setakat membaca tanpa menghayati, apa bezanya manusia dengan burung kakak tua?
Begitu juga perasaan dengki dan iri hati masyarakat Melayu di Malaysia. Kenapa perlu iri hati kepada seseorang yang berjaya dalam perniagaan? Malah sanggup menyihir pesaing perniagaan agar hanya perniagaan mereka sahaja maju. Itu bukan Islam... Malu, bila mereka ini mengaku mereka Islam sedangkan dalam masa yang sama tidak percaya rezeki adalah milik Allah.
Bukankah setiap kali kita bersembahyang, kita akan membaca doa iftitah. Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku dan matiku adalah untuk Allah semata-mata.
Dan ianya membuatkan kawan terfikir... selama ini kawan hanya mengajar sukatan pelajaran...........
Surau oh Surau....
Surau oh surau... Tak tau bagaimana nak luahkan...
Bila pelantikan AJK baru telah dibuat, kawan berharap kawan tidak akan diberikan sebarang tugas kerana kesibukan sebagai setiausaha KRT. Tapi, bila melihat banyak perkara masih tidak digerakkan.. kawan merasa sedikit terkilan.
Dulu, kawan dilantik sebagai Ketua Biro Dakwah. Yup, diakui kawan memang gagal dalam mentarbiah penduduk taman untuk mendekati surau. Dianggarkan 1000 orang penduduk, tetapi untuk mencapai 5% memakmurkan surau pun tak tercapai.. 5% sama dengan 50 orang.. Bila memikirkan perkara ini, terngiang-ngiang di kepala kata-kata seorang Yahudi yang berpengaruh (kawan lupa namanya).. "Yahudi tidak akan takut kepada umat Islam, melainkan jumlah jemaah solat subuh adalah seramai solat jumaat"....
Dan, bila melihat jumlah jemaah yang berkurangan.. kawan cukup malu.. Malu dengan warga Pakistan yang turut memakmurkan surau dan malu dengan Allah. Kawan pun bukanlah orang yang selalu pergi ke surau, ada kalanya bila kawan beruzlah dan bersuluk, lama... kawan tak ke surau.Dan bila ada rasa ujub dan riak, ataupun bila merasa semua orang salah hanya kawan yang betul.. kawan akan menjauhkan diri dari surau untuk menginsafi diri..
Bagi kawan, perkara yang penting dalam pengurusan surau adalah pengerusi, setiausaha dan biro dakwah. Sekiranya mereka ini bergerak menjalankan tugas, maka surau dapat dimakmurkan. Tetapi dalam AJK yang baru dilantik, hanya pengerusi sahaja yang kelihatan menjalankan tugas, manakala setiausaha awal-awal lagi dah mengatakan bahawa dia tidak mampu... Manakala biro dakwah, sampai sekarang kawan tak nampak batang hidungnya.
Kawan kesian dengan surau, tapi kawan tidak mampu untuk memikul tugas yang berganda.. Belum lagi kawan sebagai muazzin dan imam, bila muazzin dan imam yang dilantik tidak dapat hadir atas sebab-sebab tertentu. Teringat kata-kata seorang jemaah, "ustaz ramai di taman ni, tapi berapa kerat je yang tunjuk muka."
Bila memikirkan perkara ni, niat kawan untuk pindah ke gemuruh dan memakmurkan surau di sana terbantut... Memang itulah niat kawan tahun ni, supaya surau gemuruh juga dapat dimakmurkan. Tapi... hmmmm.....
"Kami sebenarnya takutkan Tuhan kami, takut Dia kenakan kami azab hari yang padanya muka orang-orang yang bersalah: masam berkerut-kerut". al-Insan ayat 10.
Huzaifah Ibnu Yaman...
Salah seorang sahabat Nabi s.a.w yang kawan kagumi, Kisah mengenai Huzaifah tidak banyak diceritakan seperti Sahabat yang empat. Dari dulu kawan cuba mencari kisah Huzaifah setelah mendengar lagu D'Cromok..
Huzaifah seperti yang diceritakan oleh ghodong kawan, suka bermain-main ketika Rasulullah s.a.w mengajar tetapi dia merupakan orang yang digelar penyimpan rahsia nabi kerana hanya kepada dia sahaja Rasulullah menceritakan senarai orang-orang munafik.
Sesetengah riwayat ada menceritakan bahawa Huzaifah merupakan sahabat yang sangat bijak dan hidup dalam keadaan zuhud walaupun ketika dilantik menjadi Gabenor (maaf, kawan tak ingat di mana)
Malah diceritakan juga, bahawa Saidina Umar r.a hanya akan menyembahyangkan jenazah sekiranya Huzaifah turut menyembahyangkan jenazah tersebut.
Dia juga dianggap sebagai guru ahli sufi kerana pemerhatiannya terhadap perkara-perkara mengenai Islam yang lebih halus dan teliti. Jika para sahabat selalu bertanya tentang cara menambah amalan, dia bertanya tentang perkara yang merosakkan amalan tersebut.
Ucapan Huzaifah ketika meninggal dunia...
"Selamat datang wahai Maut, kekasih datang waktu rindu, hati bahagia, tiada keluh dan kesalku"
Iqra'
Qunut Nazilah
Nu'man bin Bashir ra. meriwayatkan bahwa Rasulullah s.a.w bersabda, "Kalian akan melihat orang beriman saling berkasih sayang satu sama lain, mencintai satu sama lain, bersahabat satu sama lain bagaikan satu tubuh, Ketika satu bahagian tangan (dari tubuh) merasakan sakit maka menyebabkan keseluruhan tubuh akan menjadi lemah dan merasa sakit" (Misykat : 422)
Abu Musa r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda, "Seorang beriman dengan orang yang beriman lainnya seperti sebuah bangunan yang saling menguatkan satu sama lain (dengan setiap batanya)".
Ibnu Umar ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda, "Seorang Muslim adalah saudara bagi Muslim yang lain, maka jangan menyusahkannya dan jangan menyerahkannya (kepada musuh-musuh ketika ia di dalam kesusahan)".
Amir bin Malik, ketua Bani Sulaym meminta bantuan kepada Rasulullah SAW untuk menghadapi musuh kaumnya. Rasulullah SAW menerima permohonannya dan mengirim 70 orang sahabat r.a yang mereka terdiri dari para Quraa (ahli dalam bacaan Al-Qur'an). Kaum Bani Sulaym kemudian menawan para sahabat r.a di sebuah tempat yang bernama Bir Ma'una dan kemudian membunuh mereka.
Jibril AS memberitahukan peristiwa ini kepada Rasulullah SAW dan menyampaikan pesan terakhir dari para Quraaa tersebut, "Khabarkan kepada orang-orang bahawa kami telah berjumpa Tuhan kami. Dia (Allah) redha kepada kami dan kami redha kepada-Nya". Kejadian ini telah menyebabkan Rasulullah SAW mengalami kesedihan yang mendalam. Abdullah bin Mas'ud ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah membaca Qunut Nazilah selama satu bulan "mengutuk" Bani Sulaym (Bukhari 2:586)
Berdasarkan riwayat-riwayat di atas, para Fuqaha telah menggariskan bahawa apabila Umat ini dalam krisis mereka harus mengikuti Sunnah untuk mengamalkan Qunut Nazilah dan berdo'a untuk Umat.
Sumber : Qunut Nazilah
Luasnya Neraka - Na'uzubillah
Yazid Arraqqasyi dari Anas bin Malik ra. berkata: Jibrail datang kepada Nabi saw pada waktu yg ia tidak biasa datang dalam keadaan berubah mukanya,
Maka ditanya oleh Nabi s.a.w.: 'Mengapa aku melihat kau berubah muka?'
Jawabnya: 'Ya Muhammad, aku datang kepadamu di saat Allah menyuruh supaya dikobarkan penyalaan api neraka, maka tidak layak bagi orang yg mengetahui bahawa neraka Jahannam itu benar, dan siksa kubur itu benar, dan siksa Allah itu terbesar untuk bersuka-suka sebelum ia merasa aman dari padanya.'
Lalu nabi s.a.w. bersabda: 'Ya Jibrail, jelaskan padaku sifat Jahannam.'
Jawabnya: 'Ya. Ketika Allah menjadikan Jahannam, maka dinyalakan selama seribu tahun, sehingga merah, kemudian dilanjutkan seribu tahun sehingga putih, kemudian seribu tahun sehingga hitam, maka ia hitam gelap, tidak pernah padam nyala dan baranya. Demi Allah yg mengutus engkau dengan hak, andaikan terbuka sebesar lubang jarum nescaya akan dapat membakar penduduk dunia semuanya kerana panasnya.
Demi Allah yg mengutus engkau dengan hak, andaikan satu baju ahli neraka itu digantung di antara langit dan bumi nescaya akan mati penduduk bumi kerana panas dan basinya.
Demi Allah yg mengutus engkau dengan hak, andaikan satu pergelangan dari rantai yg disebut dalam Al-Quran itu diletakkan di atas bukit, nescaya akan cair sampai ke bawah
bumi yg ke tujuh.
Demi Allah yg mengutus engkau dengan hak, andaikan seorang di hujung barat tersiksa, nescaya akan terbakar orang-orang yang di hujung timur kerana sangat panasnya, Jahannam itu sangat dalam dan perhiasannya besi dan minumannya air panas campur nanah dan pakaiannya potongan-potongan api.
Api neraka itu ada tujuh pintu, tiap-tiap pintu ada bahagiannya yang tertentu dari orang laki-laki dan perempuan.
Nabi s.a.w. bertanya: 'Apakah pintu-pintunya bagaikan pintu-pintu rumah kami?'
Jawabnya: 'Tidak, tetapi selalu terbuka, setengahnya di bawah dari lainnya, dari pintu ke pintu jarak perjalanan 70,000 tahun, tiap pintu lebih panas dari yang lain 70 kali ganda.' (iaitu yg lebih bawah lebih panas)
Tanya Rasulullah s.a.w.: 'Siapakah penduduk masing-masing pintu?'
Jawab Jibrail:
'Pintu yg terbawah untuk orang-orang munafik, dan orang-orang yg kafir setelah diturunkan hidangan mukjizat nabi Isa a.s. serta keluarga Fir'aun sedang namanya Al-Hawiyah.
Pintu kedua tempat orang-orang musyrikin bernama Jahim,
Pintu ketiga tempat orang shobi'in bernama Saqar.
Pintu ke empat tempat Iblis dan pengikutnya dari kaum majusi bernama Ladha,
Pintu kelima orang yahudi bernama Huthomah.
Pintu ke enam tempat orang nasara bernama Sa'eir.'
Kemudian Jibrail diam segan pada Rasulullah s.a.w. sehingga ditanya: 'Mengapa tidak kau terangkan penduduk pintu ke tujuh?'
Jawabnya: 'Di dalamnya orang-orang yg berdosa besar dari ummatmu yg sampai mati belum sempat bertaubat.'
Maka Nabi s.a.w. jatuh pengsan ketika mendengar keterangan itu, sehingga Jibrail meletakkan kepala Nabi s.a.w. di pangkuannya sehingga sedar kembali dan sesudah sedar Nabi saw bersabda: 'Ya Jibrail, sungguh besar kerisauanku dan sangat sedihku, apakah ada seorang dari ummat ku yang akan masuk ke dalam neraka?'
Jawabnya: 'Ya, iaitu orang yg berdosa besar dari ummatmu.'
Kemudian Nabi s.a.w. menangis, Jibrail juga menangis, kemudian nabi s.a.w. masuk ke dalam rumahnya dan tidak keluar kecuali untuk sembahyang kemudian kembali dan tidak berbicara dengan orang dan bila sembahyang selalu menangis dan minta kepada Allah.
Nota buku lali : dipetik dari kitab Tanbighul Ghafilin - Peringatan Bagi Yang Lalai









